SESI FORUM DENGAN KERJASAMA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM)
14 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dengan kerjasama Centre for Media and Information Warfare Studies dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan sesi forum yang mengupas tajuk “Psychological Warfare in Digital Age: AI and Media Strategies in Modern Military Operations”. Forum ini telah menampilkan 2 ahli panel iaitu Dr Mohd Firdauz bin Mohd Fathir, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM dan Kolonel Nizam bin Hj Che Ani TUDM, Pengarah Latihan PUSPAHANAS serta Encik Ahmad Mohsein bin Azman sebagai moderator.
Objektif utama penganjuran forum kali ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta forum terhadap konsep dan dimensi strategik peperangan maklumat serta impaknya terhadap keselamatan negara dan kedaulatan maklumat. Selain itu, ianya turut membincangkan peranan media tradisional dan digital dalam pembentukan persepsi awam, operasi psikologi (PSYOPS), serta penyebaran propaganda dalam konteks peperangan moden dan seterusnya mengupas cabaran serta peluang yang dihadapi oleh agensi kerajaan, pasukan keselamatan, dan pengamal media dalam menangani ancaman naratif musuh di ruang siber dan sosial.
Forum pada kali ini telah dihadiri oleh Presiden PUSPAHANAS dan melibatkan penyertaan daripada pegawai ATM serta jemputan daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan serta pelajar dari UiTM. Diharapkan usahasama antara PUSPAHANAS dan UiTM dapat memperkukuh penyelidikan, latihan dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan, pertahanan dan strategi komunikasi, selaras dengan keperluan semasa negara. Ia juga membuka ruang pembangunan kepimpinan muda serta jaringan strategik antara akademik dan agensi keselamatan.