Bengkel Kajian Penggabungan Pusat Latihan ATM
Pulau Pinang , 8 Januari 2026 – Bengkel Kajian Penggabungan Pusat Latihan ATM telah berjaya dilaksanakan di Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU), Tg Bungah, Pulau Pinang bermula 5 hingga 8 Januari 2026. Penganjuran bengkel ini merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Infrastructure Readiness Assessment Road Show yang sebelum ini telah dilaksanakan di kolej serta pusat latihan di bawah naungan markas pemerintahan pendidikan dan latihan setiap perkhidmatan.
Bengkel ini menghimpunkan penyertaan pegawai-pegawai daripada MATM-BOLP, PUSPAHANAS, MK PLDTD, MPLD TLDM dan MPPLU. Turut serta ialah Ketua Sekolah serta Jurulatih Kanan daripada kolej serta pusat latihan perkhidmatan, antaranya Kolej PTT–ATD yang melibatkan Divisyen Kerani, Logistik dan Jasmani, PULMAT, PUZIDA, PULNORD, PULAPOT, KD PELANDOK yang melibatkan Fakulti Pelaut dan Fakulti Bekalan, INSTAR, PHU dan INSMAT. Penyertaan menyeluruh ini mencerminkan komitmen bersama ATM dalam menilai penstrukturan semula sistem latihan secara holistik dan bersepadu.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk mengkonsolidasikan dapatan semasa Road Show yang telah dilaksanakan di samping menjalankan perbandingan kursus serta modul/silibus latihan sedia ada berdasarkan keperluan tugas dan kepakaran Tred Perkhidmatan. Perbincangan turut memfokuskan kepada penentuan kesesuaian kursus yang berpotensi untuk ditawarkan secara silang kepada perkhidmatan lain selaras dengan aspirasi memperkukuh interoperabiliti dan kecekapan sumber dalam ATM.
Selain itu, bengkel ini turut menilai secara menyeluruh implikasi dan impak pengoperasian pusat latihan sekiranya cadangan penggabungan direalisasikan. Penilaian tersebut merangkumi aspek gerak, tadbir urus serta sokongan logistik bagi memastikan sebarang pelaksanaan penggabungan kelak tidak menjejaskan keberkesanan latihan, kebajikan dan kesiapsiagaan operasi ATM secara keseluruhan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Bengkel Kajian Penggabungan Pusat Latihan ATM ini menjadi platform strategik dalam memperhalusi cadangan penstrukturan latihan ATM yang lebih efisien, mampan dan berorientasikan keperluan masa hadapan. Hasil perbincangan dan dapatan bengkel dijangka menjadi asas penting kepada perancangan dan keputusan strategik JK PEMAMPAN dalam usaha memperkukuh ekosistem latihan ATM secara bersepadu.
Artikel: Kdr Ahmad Redhuan bin Osman TLDM, PUSPAHANAS
Gambar: Kpl (U) Muhamad Hairie bin Ramli, PHU
Related Bulletins
MESYUARAT PENGURUSAN LATIHAN SIRI 1/26
04 Feb 2026
PUSPAHANAS Lecture Series
26 Jan 2026